Wednesday, July 14, 2010

Latar Belakang Bendera Negeri Wilayah Persekutuan

BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Bendera ini mengandungi tiga jalur melintang yang sama lebar berwarna merah, putih dan biru dengan bulan bintang pecah empat belas berwarna kuning terletak di tengah bendera. Jalur-jalur merah, putih, biru dan bulan bintang berwarna kuning yang melambangkan warna Bendera Malaysia membawa makna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia. Bulan Bintang bermakna Agama Islam sebagai agama rasmi dan bintang pecah empat belas menggambarkan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan bersatu dalam Persekutuan Malaysia.

  • Merah : Melambangkan keberanian bermakna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia.
  • Putih : Melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan dalam mempertingkatkan katahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.
  • Biru : Melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum, hidup bersatu, aman makmur hormati serta berusaha untuk memajukan pembangunan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi.
  • Kuning : Melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
  • Bulan Bintang : Bulan bintang berwarna kuning yang menjadi lambang keIslaman dan Kedaulatan Raja Berperlembagaan yang terletak di tengah-tengah dan mencakupi ketiga-tiga jalur (merah, putih, biru) menampakkan kestabilan dan kekuatan di dalam menyatukan lambang-lambang keberanian, kesucian dan perpaduan.


BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

Bendera baru bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah berasaskan dua (2) warna utama iaitu biru dan kuning.Warna biru melambangkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.Manakala warna kuning bendera adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.Logo Persekutuan melambangkan Wilayah Persekutuan Putrajaya menjadi tonggak pentadbiran negara yang baru dengan kekuatan dan semangat yang utuh dalam mengharungi era globalisasi dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.



BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah. Warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan pentadbiran.

  • Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.
  • Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif.
  • Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur.
  • Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya

No comments:

Post a Comment